Saturday, August 4, 2012

pesan abi


"abi..."

"ya, nak."

mendengar sahutan abi, aku mampir menghadap abi depan-depan, rasa nekad ingin mengadukan segalanya. peluang berseorangan dengan abi setelah kuliah subuh kali ini tidak akan aku sia-siakan. abi membiarkan dengan pandangannya masih ditujukan pada kitab lusuhnya di tangan sambil membelek-belek beberapa helaian halaman.

lalu aku suarakan segala kegusaran yang terbuku, membelenggu diri membawa kepada lemah dan futur.

tidak tenang


aku adukan kepada abi bahawa jiwaku kini resah, hidup terasa kacau, masalah kecil dan besar sering menekan. keadaan sekeliling langsung tidak membantu.

aktiviti jemaah tidak berjaya menenangkan jiwa, akademik menjadi bebanan, setiap jawatan yang dipertanggungjawabkan menghantui sepanjang masa. panjang sekali aku terangkan kepada abi, supaya dia benar-benar dapat memahami jeritan batinku ini.

abi hanya diam mendengar dengan matanya merenung kulit depan kitab kesayangannya itu sedalam-dalamnya.

soalan abi


setelah habis tuturku abi merenung lembut wajahku, dengan kitabnya tadi digenggam erat oleh tangan kanan dan dibawa ke dada. aku yang dahagakan pedoman, tertunggu-tunggu apakah solusi yang abi akan hamparkan, mengharapkan ribut hatiku akan reda seperti mana beberapa orang kawanku yang kuperhatikan sering bersama abi.

abi diam beberapa detik, sebelum membuka suara dan terus menyoalku perlahan.

"nak, bagaimana tahajudmu setiap malam?"

aku terkedu. malu-malu mahu menjawab lalu abi menyoal lagi.

"berapa masamu yang kamu sediakan untuk menghadap Allah Taala di waktu qiyam setiap malam?"

"apakah seorang da'ie mujahid akan dilupai oleh Allah Azza wa Jalla bila saat orang tidur sang da'ie merintih, merayu, mengadu kepadaNya?"

abi menyambung, dalam aku cuba memerah hati dan perasaan memikirkan setiap jawapan kepada persoalan abi.


"bagaimana pula dengan aurad quranmu, nak. al-waqiah, al-mulk, yaasin, semuanya surah yang amat berkuasa membina kekuatan roh, kekuatan iman, kekuatan keyakinan. menghapuskan pula kotoran-kotoran dosa, menambah bekalan pahala yang mampu menaikkan darjah ketenangan dalam hati para da'ie ila Rabbul Jalil."

"bagaimana solatmu pula. hadirkah sentuhan-sentuhan ruhi, unsur ta'abudan-pengabdian, tasliman-penyerahan, takhasyu'an-khusyuk, tabazzulan-kehinaan diri, takhaddu'an-kerendahan hati, tamalluqan-kerinduan yang membina jiwa hamba dalam diri para da'ie mujahid. sering kali seseorang itu tidak menemui hatinya dalam solat sehingga solatnya tidak ada roh yang dapat menghidupkan jiwanya."

"bagaimana wiridmu dan zikirmu yang sepatutnya menghidupkan hati, menyalakan ingatan, kerinduan, keasyikan kepada Allah Rabbul Jalil, membuahkan kemuliaan, menumbuhkan sifat-sifat mahmudah, membersih dan menggilap dari noda dosa."

perlahan tapi dalam, setiap pertanyaan abi singgah tepat di lubuk hatiku. sebelum diketuk keras oleh luahan terakhir abi yang terpahat kemas di hatiku.

"abi sukar mempercayai seorang da'ie yang istiqamah dengan wasilah-wasilah tarbawi akan resah jiwanya, tertekan hidupnya. oleh itu anakku, muhasabahlah dirimu, sebelum kamu dimuhasabah di hadapan Tuhanmu."

pesan ini sampai di hati, akan ku cuba bawa ke mati.








No comments:

Post a Comment