Tuesday, August 21, 2012

selepas 4 tahun

hari terakhir ramadhan. keluar ke pekan untuk membeli beberapa keperluan untuk rumah terbuka esoknya. singgah di kedai kacang, yang berada bertentangan dengan kawasan perhentian tremco di mahattah untuk membeli kacang sudani.

semasa menunggu kacang dibungkus, terdengar suara riuh rendah orang Arab tempatan dari arah jalan. terkejut apabila menyaksikan dua orang lelaki arab sedang bergaduh dan masing-masing berbalas pukulan dan saling menjerit ke arah satu sama lain. salah seorang bertubuh sasa dan tinggi. dia memegang sebilah pisau rambo manakala seorang lagi kurus dan hanya bertangan kosong. arab yang bertubuh sasa menghayunkan pisaunya bertubi-tubi ke arah kepala lelaki yang kurus. lelaki kurus hanya mengelak dan menepis sambil cuba mencabut tali pinggangnya untuk dijadikan senjata.

semua orang berkerumun mengelilingi mereka, tetapi gagal meleraikan kerana lelaki sasa itu menghayunkan pisaunya secara membuta tuli. lokasi mereka hanya dalam 10m dari tempat aku berdiri. aku yang berdiri melihat hanya kaku berdiri sambil berdoa dalam hati lelaki kurus itu tidak tercedera.

tidak lama kemudian, orang ramai berjaya memegang kedua-dua mereka dan pergaduhan tersebut berhenti. lelaki kurus tersebut cedera di kepala sehingga berlumuran darah.

***

situasi biasa di tanah arab menyaksikan arab bergaduh tetapi pengalaman pertama kali menyaksikan pergaduhan antara arab yang betul-betul 'bergaduh'. sebelum ini hanya mendengar cerita daripada senior-senior dan kawan-kawan Indonesia yang sering bergaduh dengan arab- kata merekalah.

terdetik di hati bagaimana jika aku yang berhadapan dengan arab seperti lelaki sasa tadi. pernah beberapa kali sebelum ini terasa betul-betul ingin menumbuk muka pemuda-pemuda arab yang sering mengacau dan menyindir di jalanan.

bahasa arab ammi tahu sepatah dua saja, bersilat lagilah tak reti. apa aku nak buat kalaulah ditakdirkan aku bergaduh dengan arab nanti.

"ni hao, ni hao,"beberapa arab mengacau, semasa aku menunggu tremco untuk pulang.

"ko sebut sekali lagi, aku hentak kepala ko!"aku menjerit di dalam hati.

kemudian tremco sampai, aku naik dan pulang ke salam saidnawi.

No comments:

Post a Comment